Rabu, 23 Julai 2008

Pengenalan Pantun Sebagai Puisi Tradisional

NOTA KOMSAS

PUISI

1. Puisi ialah karangan berangkap yang mengutarakan pemikiran dengan bahasa yang indah.
2. Penciptaan puisi terikat oleh unsur-unsur irama, rima, penyusunan baris, dan rangkap.
3. Puisi terbahagi kepada dua, iaitu :

(a) Puisi moden atau lebih dikenal sebagai sajak.
(b) Puisi tradisional yang merangkum pantun, syair, gurindam, seloka dan lain-lain.


Pantun

1. Pantun ialah sejenis bentuk puisi tradisional.

2. Pantun merupakan karya yang berangkap tetap. Maksudnya, saman ada dua, empat, enam, lapan, sepuluh, dua belas, atau empat belas baris dalam serangkap.

3. Pantun yang mempunyai dua baris serangkap dikenal sebagai pantun dua kerat, sementara yang mempunyai empat baris serangkap dikenal sebagai pantun empat kerat, dan begitulah seterusnya.

4. Pantun terdiri daripada dua bahagian, iaitu pembayang maksud atau sampiran dan isi.

5. Dalam pantun empat kerat, pembayang maksud ialah dua baris pertama dan isi pula dua baris yang berikutnya.
Lihat contoh yang berikut.

Kusangka nanas di tengah padang, [ a ]
Kiranya pandan yang berduri. [ b ]

Kusangka panas sampai ke petang, [ a ]
Kiranya hujan di tengah hari. [ b ]


6. Jumlah kata dalam setiap baris pantun ialah antara empat hingga lima patah kata sementara jumlah suku katanya pula antara lapan hingga dua belas suku kata bagi setiap baris.

7. Rima akhir pantun ialah abab, iaitu rima akhir pada baris pertama sama dengan rima akhir pada baris ketiga, sementara rima akhir baris kedua sama dengan rima akhir baris keempat.

8. Pantun menjadi alat pengucapan untuk mengungkapkan perasaan hiba, sedih, sayu, gembira, rindu dendam, dan sebagainya terhadap seseorang atau sesuatu perkara.

9. Oleh sebab itu, pantun dinamakan mengikut isi pantun berkenaan, misalnya pantun kanak-kanak, pantun orang muda, pantun orang tua, pantun budi, pantun kiasan, dan sebagainya. Pantun merupakan puisi tradisional yang paling popular di kalangan masyarakat Melayu sehingga hari ini.

10. Dua pantun yang perlu dikaji di peringkat Tingkatan Empat ialah:

(a) Pantun Mengenang Nasib
(b) Pantun Kiasan

Bentuk puisi
1. Bentuk puisi ialah susunan unit-unit berirama dalam sesuatu baris, sementara bentuk stanza dihubungkan pada susunan puisi itu sendiri.
2. Bagi mengkaji bentuk sesuatu puisi, kita perlu melihat perkara-perkara yang berikut:

♦ bilangan rangkap dalam puisi berkenaan;
♦ bilangan baris dalam setiap rangkap;
♦ bilangan kata dalam setiap baris;
♦ bilangan suku kata dalam setiap baris;
♦ rima akhir.

Tiada ulasan: